Tuesday, 8 August 2017

demonstrasi masakan tradisional Sarawak

assalamualaikum semua

saya berkesempatan untuk meihat sendiri bagaimana masakan tradisional sarawak dimasak.   bahan2 yang unik dan saya sendiri tak pernah tahu.

tukang masak untuk kaum kaum ulu ni bernama Alice yang diterbangkan khas dari Miri sarawak.  sebanyak 5 jenis resepi telah dikongsikan.  saya sertakan kesemua resepinya utk mereka yang berminat untuk mencuba.

Resepi 1: Lerek Ubut Usan (bubur nenas)
Resepi 2:Tasap Tung Ubi (daun ubi goreng)
Resepi 3: Saga Lia (cili goreng)
Resepi 4: Saga Atuk Betelo (ikan betelo/ Seluang goreng)
Resepi 5: cangkuk manis dan umbut nenas

 

ini lah daun yang digunakan sebagai pengganti ajinamoto.  dipanggil mekai. daun ini dikeringkan dan dihancurkan menjadi serbuk.  kemudian disimpan dan akan digunakan sebagai bahan perisa untuk makanan.

 

masakan pertama yang ditunjukkan adalah Lerek Ubut Usan.  ini merupakan bubur nasi yang dicampur dengan umbut nenas dan bahan2 lain.  keunikan masakan ini adalah kerana  diletakkan umbut nenas.  saya kongsikan cara memasak bubur ini.

Resepi 1: Lerek Ubut Usan (bubur nenas)


Bahan-bahan

umbut nenas secukupnya
500 gm isi ayam
3 genggam beras bario (beras biasa pun boleh juga)
paku Julut (paku uban)
terung pipit
Bawang merah
Halia
serai
mekai
Garam
sedikit minyak masak

cara membuatnya
  1. beras dibersihkan dan dimasak seperti bubur.  masukkan serai yang telah dititik.  masak hingga setengah masak dan masukkan isi ayam yang telah dipotong kecil.
  2. sementara itu bersihkan umbut nenas dengan membuang kelopak daunnya hingga habis. kemudian dihiris mengikut saiz yang dikehendaki.
  3. halia dan bawang merah dihiris nipis.  panaskan minyak masak dan tumis kedua bahan ini hingga naik bau.  
  4. selepas itu masukkan bahan yang ditumis tadi ke dalam bubur nasi.
  5. masukkan umbut nenas, terung pipit dan paku uban ke dalam bubur.  masukkan garam secukup rasa dan mekai (daun ajinamoto).
  6. biarkan mendidih hingga masak.



inilah rupa umbut nenas setelah dibuang kelopak daunnya.  menurut Alice, anak2 nenas yang tumbuh disekitar pokok asal biasanya akan mengeluarkan buah yang kurang cantik.  biasanya anak2 pokok ini akan dibuang.  untuk mengelakkan pembaziran, mereka oleh dengan mengambil bahagian umbutnya untuk dimasak.





inilah rupa paku uban.  kalau di semenanjung  dipanggil paku pakis.  ia berbeza dengan sayur midin yang popular tu.





Resepi 2: Tasap Tung Ubi (Daun Ubi goreng)


bahan-bahan

Daun ubi kayu yang telah ditumbuk halus. (boleh dibekukan)
umbut tepus
terung pipit
bawang merah
halia
mekai
garam
serai
minyak masak
sedikit air

cara membuatnya
  1. bawang merah dihiris nipis.  halia dihiris halus dan serai dititik.
  2. panaskan minyak masak dan tumiskan bawang merah, halia dan serai.
  3. masukkan daun ubi, terung pipit dan umbut tepus.  gaul sebati.
  4. masukkan air dan garam secukupnya.  tambahkan mekai.  gaul sebati dan tutup.  masak dengan api yang sederhana hingga masak.





ini dinamakan umbut tepus.  bahagian umbutnya akan diambil untuk masakan.  baunya seperti bunga kantan. untuk mendapatkan umbutnya, batangnya perlulah dikopek dan diambil bahagian yang dalam sekali.  sesuai sebagai penambah perasa untuk bermacam2 jenis masakan.  saya suka sangat.  lepas ni kalau ke pasar kubah memang saya akan beli.  sebelum ni tak tahu nak masak apa.

 

 



gambar dibawah ini yang sebelah kiri tu adalah rupa buah kepayang.  first time nampak ye.  menurut Alice buah kepayang ini perlu diproses dengan cara merendamnya untuk menghilangkan getahnya yang boleh mengakibatkan mabuk. prosesnya agak leceh dan mungkin saya tak akan try buat sebab kalau tersilap takut yang makan akan jadi mabuk kepayang pulak. hahaha. patut lah ada peribahasa 'mabuk kepayang'.  

yang sebelah kanan pula adalah daun cangkuk manis kalau disemenanjung dipanggil cekur manis. saya suka tumis sahaja sayur ni. sedap juga dimasak bening dan masak lemak yang dicampur dengan labu.


Resepi 3: Saga Lia (cili goreng)

bahan-bahan
cili putih
cili hijau
terung pipit
petai
buah kepayang
ikan bilis

cara membuatnya
  1. cili putih, cili hijau dan buah kepayang dihiris nipis.
  2. terung pipit dan petai dipotong dua.
  3. bawang merah dihiris nipis
  4. panaskan minyak masak dan tumis bawang merah.
  5. masukkan ikan bilis, cili putih, cili hijau, petai, terung pipit dan buah kepayang.  
  6. masukkan garam dan mekai secukup rasa. tumis hingga masak.

* resepi no 3 ni saya lupa nak snap gambar sebab dah kena serbu sebaik sahaja masakan ini masak.  memang sedap betul lebih2 lagi kalau dapat makan dengan nasi yang masih panas.


Gambar di bawah ini pula petai hutan.  Rasanya sama dengan petai yang biasa dijual dipasar tapi rupanya ada lain sikit.


inilah rupa cili putih yang telah dihiris.  cili ni pedas juga tapi jarang dijumpai di pasar kubah.  tapi kalau jumpa bolehlah beli sebab rasanya sedap macam cili padi cuma kurang pedas kalau dibandingkan dengan cili padi.  sesuai untuk digunakan sebagai perencah tambahan semasa menumis.



gambar di bawah ini adalah terung pipit.  memang sangat mudah dijumpai di pasar kubah. dulu di kampung pun banyak juga tapi sekarang macam dah tak jumpa pulak.  emak saya suka masak terung ini yang bahasa jawanya dipanggil terung kongkak.  biasanya emak saya masak sambal tumis yang dicampur dengan ikan bilis dan dimasukkan terung pipit ini.  memang sedap.





 Resepi 4: Saga Atuk Betelo (ikan betelo/ Seluang goreng)



bahan-bahan

ikan betelo
serbukkunyit
garam
serbuk lada hitam
sedikit tepung gandum
minyak masak

cara membuatnya

  1. gaul ikan betelur dengan serbuk kunyit, garam dan serbuk lada hitam.
  2. tuangkan sedikit tepung gandum
  3. panaskan minyak dangoreng ikan betelo hingga garing.
* ikan ini merupakan ikan sungai yang banyak terdapat dicelah-celah batu.  ikan ini sangat rangup selepas digoreng.  anak saya Azim sanggup tunggu untuk mendapatkan gorengan kali ke2 sebab dia kata sedap sangat.  masalahnya mana nak dapatkan ikan ini sebab tak ada dijual di pasar.









Resepi 5: Sayur Cangkuk manis dan umbut nenas 


bahan-bahan

bawang merah
ikan bilis
sayur cangkuk manis
umbut nenas yang dihiris
garam
minyak masak

cara membuatnya
  1. panaskan minyak.  tumis bawang merah dan ikan bilis.
  2. masukkan sayur cangkuk manis dan umbut nenas.  kaau sebati
  3. masukkan garam dan mekai secukup rasa.





di tempat yang sama juga ada dipamerkan masakan ayam pangsuh yang merupakan makanan tradisi kaum Iban di sarawak.  

 







kami juga diajar cara membungkus nasi dengan menggunakan daun ini.  saya tak ingat nama daun ini.



demonstrasi masakan tradisional ini memang sangat bagus.  saya sebagai orang luar sarawak memang teruja untuk mengetahui jenis2 masakan ini.  bermacam2 ilmu yang saya dapat di sini.  sebelum balik sempat saya bergambar dengan tukang masak yang sangat sporting,  Alice ..



sekian untuk entry masakan tradisional Sarawak.  sesiapa yang nak cuba masak dialu-alukan sangat. cuma kalau bahan yang disebutkan tak dijumpai memang saya tak dapat nak tolong lah.  sebabnya kalau di Kuching ini, pasar kubah sahaja lah tempatnya untuk mendapatkan bahan2 daripada hutan dan kampung2 ini.  tempat lain memang saya tak tahu.

wassalam

like